Sunday, November 11, 2012

SALAM MAAL HIJRAH - 1434H


Allah SWT berfirman yang mafhumnya :

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah ( untuk membela dan menegakkan Islam ) , nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur , dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya , kemudian ia mati ( dalam perjalanan) , maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah ) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ". ( Surah An-Nisa ayat 100 ).

Tahun baru Hijrah 1434 H yang diiringi oleh tahun baru Masehi 2013 M telah membuka lembaran baru bagi kita umat Islam. Siang dan malam silih berganti tanpa jemu melengkapi peredaran sehingga cukup setahun . Terkadang kita berfikir mengapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja kita dilakukan , baru beberapa agenda dilaksanakan dan mengapa masa berputar begitu pantas.

Tahun baru ( Hijrah ) datang membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti akan erti sebuah kehidupan yang diredai Allah SWT. Peristiwa Hijrah disambut saban tahun mengajak seluruh umat Islam bermuhasabah dan memperbaiki diri untuk mendapat reda Allah SWT.

Monday, November 5, 2012

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM 2012


Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan yang cemerlang khas buat anak-anak kita yang sedang menduduki peperiksaan SPM 2012 bermula hari ini. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau permudahkanlah anak-anak kami dalam menghadapi peperiksaan ini. Jadikanlah mereka hamba-hambaMu yang berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiin Ya Rabbal Alamin

Friday, September 28, 2012

MENYAHUT PANGGILAN KAABAH - MUSIM HAJI 1433H



Pengertian Haji dan Umrah

Haji pada syarak ialah mengunjungi Baitullah Al Haram ( Kaabah ) dalam bulan bulan Haji ( dari 1 Syawal hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah ) kerana mengerjakan Tawaf, Sa’ie, bercukur atau bergunting dan Wukuf di Arafah menurut syarat-syarat dan rukun-rukunnya serta menunaikan segala wajibnya.

Umrah pada syarak ialah menziarahi Baitullah Al Haram ( Kaabah ) kerana mengerjakan Tawaf, Sa’ie, bercukur atau bergunting dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajibnya.



Thursday, July 19, 2012

KETIBAAN RAMADHAN AL MUBARAK

Beberapa hari lagi menjelang, tibalah bulan Ramadhan. Adakah bulan ini menjadi simbol keraian atau sekadar adat tahunan? Ini yang perlu kita teliti dan fahami.

Kepada seorang musafir yang dahagakan air di tengah perantauan yang panjang inilah detiknya buat hilangkan sisa dahaga. Kepada perantau yang sesat tanpa arah tujuan inilah jalannya membetulkan haluan yang tersasar.

Sudah tentu bagi Si Abdi hatinya penuh dengan bebunga keriangan. Manakan tidak, ibadah sehari mampu menyamai ibadah seribu bulan. Seorang pekerja yang bekerja ikhlas kepada tuannya akan menerima ganjaran yang setimpal dengan usahanya. Di kala zaman Rasulullah seorang sahabat bertanya : "Apakah itu malam Qadar wahai Rasulullah?". Baginda menjawab: "Tidak, tidakkah kamu mengetahui bahawa para pekerja, apabila mereka selesai dari pekerjaannya, nescaya akan dibayar upahnya". (Hadis Hasan, Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syua'b al-Iman: 3450)

Hati ini berdesir seketika, di sebalik singkapan Ramadhan, kebanyakan umat Islam tampaknya sering lalai dan lupa. Mereka merasakan bulan Ramadhan ini hanyalah sekadar berpuasa. Kita dapat melihat sendiri di negara kita ini. Bukan ganjaran pahala diutamakan namun santapan makanan didahulukan. Bukan masjid diimarahkan malangnya pasar ramadhan jadi tumpuan. Bukan Al-quran jadi peneman, namun tidur yang diimpikan. Namun di sini sebenarnya  bukan semuanya masyarakat Malaysia yang beragama islam begitu namun kebiasaan fenomena atau situasi, inilah yang terjadi.

Jika begitu di mana kemeriahan Ramadhan? Di mana keindahan nya? Adakah ia terletak pada makanan. Atau ganjaran pahalanya? Ayuh kita fikirkan bersama.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun. Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja? Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya, bukan? Sebab dikatakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!

Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman. Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.

Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.

Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan. Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.

Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori, kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.

Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah jangan berlebih sehingga tertelan.

Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang masih buta akal dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti, semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar. Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih Ada Manusia Yang Mendustakan?

Di bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah daerah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan. Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.

- Artikel iluvislam.com

Sunday, June 17, 2012

PENGAJARAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ


Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.
Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba
Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.
Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.
Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291)).
Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu’ kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.
Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya”. (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: “Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.
Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.
Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.
Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: “Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf”. (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab, “Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal”. Sabda Baginda SAW, “Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Posted on Jun 22, 2011 by albakriah 

Sunday, March 18, 2012

MEMBANGUN HARI ESOK YANG LEBIH BAIK DENGAN MELAKSANAKAN LIMA “M”

Firman Allah SWT :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
(Q.S. Al Hasyr : 18)

Adalah menjadi kewajiban setiap orang merancang dan mempersiapkan hari esok yang lebih baik.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan bahawa seorang akan menjadi rugi kalau hari esoknya sama saja dengan hari ini, bahkan dia menjadi terkutuk jika hari ini lebih buruk dari semalam. Seseorang dikatakan bahagia, jika hari esok itu lebih baik dari hari ini.

Membangun hari esok yang baik, sesuai dengan ayat (wahyu Allah SWT) di atas dimulai dengan perintah bertaqwa kepada Allah dan diakhiri dengan perintah yang sama. Ini mengisyaratkan bahwa landasan berfikir, serta tempat bertolak untuk mempersiapkan hari esok haruslah dengan taqwa.
Semestinya orang Mukmin punya langkah antisipatif terhadap kemungkinan yang dapat terjadi esok disebabkan kelalaian hari ini.

Seorang mukmin sudah dapat bersedia dan mempersiapkan hari esok yang lebih baik, dinamis, lebih mapan, lebih produktif daripada hari ini.

Kesimpulannya, mesti ada peningkatan prestasi dari hari ke hari. Hari esok memberi bererti masa depan dalam kehidupan pendek di dunia ini.

Hari esok juga bererti hari esok yang hakiki, yang kekal abadi di akhirat kelak.
Hari esok mesti dirancang harus lebih baik dari hari ini, dengan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan melaksanakan lima “M ” ; yaitu Mu’ahadah, Mujahadah, Muraqabah, Muhasabah, dan Mu’aqabah.