Thursday, April 22, 2010

KECEMERLANGAN PELAJAR SRII AL AMIN BB DIIKTIRAF.


Meskipun sekadar menumpang untuk menduduki peperiksaan UPSR tahun lalu di sekolah lain, dua pelajar UPSR 2009 dari SRII Al Amin Bukit Beruntung mampu membuktikan sumbangan kecemerlangan 5A UPSR kepada statistik SK TAR KKB.

Kecemerlangan ini turut mendapat pengiktirafan dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Najib Tun Abd Razak Al-Haj apabila beliau sudi menyampaikan Sijil Penghargaan Tahniah kepada semua pelajar terpilih di sekitar daerah Hulu Selangor dalam majlis Sumbangan Pelajar-Pelajar Cemerlang yang diadakan di Sungai Tengi pada 03 April 2010 yang lalu.

Pelajar Afiqe Anuar bin Md Nor Hakim, 13 tahun, kini bersekolah di Sekolah Agama Menengah Sg Selisek Hulu Selangor mendahului kesemua 696 penerima anugerah cemerlang UPSR/PMR/SPM untuk menerima sumbangan dan ucapan tahniah secara peribadi dari YAB Perdana Menteri.

Afiqe yang turut ditemani oleh guru SK TAR, Cikgu Azizah melahirkan rasa sangat bertuah kerana menerima anugerah tersebut dari YAB PM sendiri. Pengiktirafan ini turut memberikannya semangat untuk terus belajar dengan lebih bersungguh-sungguh demi untuk agama dan negara. Beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana rakan beliau pelajar Muhammad Irfan Hafiy tidak dapat turut bersama untuk menerima anugerah tersebut. Kedua-dua pelajar tersebut menyumbangkan statistik kecemerlangan 5A kepada SK TAR dalam UPSR 2009 yang lalu. Muhammad Irfan Hafiy difahamkan sedang bersekolah di daerah Rembau Negeri Sembilan.

Kegembiraan Afiqe tidak hanya berakhir di situ. Kejayaan beliau turut mendapat liputan tajuk utama dalam siaran Berita 1.30 TV3 dan Berita Jam 8 TV1 pada tarikh yang sama.