Peristiwa
Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh
Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.
Dalam
perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan
pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai
hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di
alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba
Peristiwa
Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang
semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan
Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan
dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.
Pengajaran
Tentang Solat
Antara
pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj
ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj,
terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah
dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.
Apabila
Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat,
maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari
sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi
memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan
Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di
atas permukaan bumi ini.
Kemuliaan
yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi
dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan
solat.
Tidaklah
solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna,
tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia
makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup,
hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Solat
merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka
dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya,
maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.
Allah
SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia
menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan
tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia
merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat
adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya.
Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”.
(Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’
al Zawaid (1/291)).
Tidak
menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan.
Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan
khusyuk dan khudhu’ kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah
kepada-Nya.
Sesiapa
yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya,
bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya,
berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan
amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu
dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa
kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia
sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka
yang tetap mengerjakan solatnya.
Seorang
hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah
dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara
solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan
dikasihi oleh Tuhannya.
Sabda
Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang
dilakukan di hadapannya”. (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda
Baginda SAW lagi: “Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib,
maka dia masuk syurga”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Sesiapa
yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada
memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas
kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.
Setiap
kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga
akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan
terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.
Wahai
kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta
tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang
kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.
Bermujahadahlah
sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala
kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah
sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk
mendahulukan pekerjaan.
Berhati-hatilah
kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian
tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.
Jadilah
kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang
maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang
tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta
mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan
hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka
mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik
balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah
kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)
Daripada
Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat
dengan sabdanya: “Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk
dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada
baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama
Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf”. (riwayat al Tabrani dan Ibnu
Hibban)
Daripada
Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apakah
pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari
kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali.
Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab,
“Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal”. Sabda Baginda SAW, “Begitu jugalah
perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan
kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Banyak
lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya
beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan
kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.
Semoga
kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita
dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan
Mikraj.
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Posted on Jun 22, 2011 by albakriah
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan terima kasih kerana sudi mengunjungi laman blog PSG SRII Al-Amin.