Thursday, July 19, 2012

KETIBAAN RAMADHAN AL MUBARAK

Beberapa hari lagi menjelang, tibalah bulan Ramadhan. Adakah bulan ini menjadi simbol keraian atau sekadar adat tahunan? Ini yang perlu kita teliti dan fahami.

Kepada seorang musafir yang dahagakan air di tengah perantauan yang panjang inilah detiknya buat hilangkan sisa dahaga. Kepada perantau yang sesat tanpa arah tujuan inilah jalannya membetulkan haluan yang tersasar.

Sudah tentu bagi Si Abdi hatinya penuh dengan bebunga keriangan. Manakan tidak, ibadah sehari mampu menyamai ibadah seribu bulan. Seorang pekerja yang bekerja ikhlas kepada tuannya akan menerima ganjaran yang setimpal dengan usahanya. Di kala zaman Rasulullah seorang sahabat bertanya : "Apakah itu malam Qadar wahai Rasulullah?". Baginda menjawab: "Tidak, tidakkah kamu mengetahui bahawa para pekerja, apabila mereka selesai dari pekerjaannya, nescaya akan dibayar upahnya". (Hadis Hasan, Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syua'b al-Iman: 3450)

Hati ini berdesir seketika, di sebalik singkapan Ramadhan, kebanyakan umat Islam tampaknya sering lalai dan lupa. Mereka merasakan bulan Ramadhan ini hanyalah sekadar berpuasa. Kita dapat melihat sendiri di negara kita ini. Bukan ganjaran pahala diutamakan namun santapan makanan didahulukan. Bukan masjid diimarahkan malangnya pasar ramadhan jadi tumpuan. Bukan Al-quran jadi peneman, namun tidur yang diimpikan. Namun di sini sebenarnya  bukan semuanya masyarakat Malaysia yang beragama islam begitu namun kebiasaan fenomena atau situasi, inilah yang terjadi.

Jika begitu di mana kemeriahan Ramadhan? Di mana keindahan nya? Adakah ia terletak pada makanan. Atau ganjaran pahalanya? Ayuh kita fikirkan bersama.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun. Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja? Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya, bukan? Sebab dikatakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!

Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman. Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.

Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.

Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan. Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.

Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori, kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.

Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah jangan berlebih sehingga tertelan.

Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang masih buta akal dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti, semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar. Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih Ada Manusia Yang Mendustakan?

Di bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah daerah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan. Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan terima kasih kerana sudi mengunjungi laman blog PSG SRII Al-Amin.