Monday, March 4, 2013

10 Ucapan Paling Beracun Seorang Penuntut Ilmu - Prof Dr Muhaya



10 Ucapan Paling Beracun Seorang Penuntut Ilmu - Prof Dr Muhaya


1. 'Saya Tidak Tahu di Mana Nak Mula.'

Ini masalah biasa. Jangan gelabah. Biasalah, kalau kita... bingung dengan jumlah subjek yang banyak untuk di-pelajari. Mulakan dengan menyenaraikan semua perkara yang kita perlu tahu dan yang boleh dicari daripada sukatan pelajaran atau segala yang diberitahu oleh pensyarah. Bahagikan beban kerja pada beberapa bahagian yang boleh diurus. Belajar mengutamakan kerja yang utama dan jadualkan masa kita secara realistik. Displinkan diri dengan membiasakan diri kita selama beberapa minit tempoh antara kuliah untuk megulangkaji nota-nota kuliah. Elakkan menangguh kerja ke saat-saat akhir dan mula belajar seawal mungkin dengan tempoh minima empat jam sehari.

2. 'Banyaknya Nak Belajar, dan Masanya Pula Sikit.'

Bijak bertindak. Pastikan kita amalkan BTU (Baca awal, Tumpu, Ulangkaji) terhadap kuliah-kuliah kita. Buat helaian rumusan pengajian untuk semua subjek yang ada. Kerja ini boleh dipermudahkan dengan kumpulan belajar kita. Rumusan ini termasuklah nota kuliah, tutorial, pembelajaran berasaskan masalah dan kerja-kerja makmal yang perlu disaling-kaitkan. Kenalpasti topik-topik yang paling penting yang diberi penekanan oleh pensyarah dan bahagian-bahagian yang sukar difahami.

3. 'Susahnya Subjek Ini, Saya Tak Faham Langsung!'

Bersabarlah! Mempelajari ciptaan Tuhan yang paling tinggi sudah tentu tidak mudah. Tetapi percayalah pada pesanan saya, sebaik sahaja kita memperolehi ilmu pengetahuan, ia akan memberi kepuasan dalam hidup kita. Anggapnya sebagai suatu cabaran. Pendekatan yang baik ialah dengan berbincang dengan rakan- rakan lain dalam kelas. Kita akan rasa lega apabila diberitahu rakan-rakan lain juga mendapati subjek itu sukar. Beranikan diri buat temu janji dengan pensyarah untuk mendapatkan penjelasan bagi bahagian-bahagian yang sukar. Pensyarah sudah tentu amat suka untuk membantu. Secara peribadi saya berasa amat gembira apabila penuntut bertanya kepada saya. Satu perkara penting perlu diingati, bahawa lebih sukar sesuatu subjek itu, lebih berguna ianya untuk masa pratikal klinikal dan pengajian lanjutan lepas ijazah.

4. 'Saya Baca, Saya Faham, Tetapi Saya Tak Boleh Ingat Langsung.'

Berbincanglah. Kita akan ingat lebih baik bagi perkara-perkara yang dibincangkan secara mendalam. Hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa kita ingat 70% daripada apa yang kita bincangkan. Cuba kaitkannya dengan sesuatu yang bermakna kepada kita. Semasa berbincang, cuba kaitkan topik tersebut dengan contoh-contoh sendiri. Cuba salingkait subjek dengan apa yang kita pelajari sebelum ini.

5. 'Agak-agaknya Saya Faham.'

Jangan terlalu yakin. Uji diri sendiri dengan berbincang mengenai subjek tersebut. Bina soalan-soalan dengan rakan-rakan kita mengenai bahagian-bahagian penting dan uji sesama sendiri. Sentiasa ingat fakta yang ditekankan oleh pensyarah semasa dalam kuliah. Kaji hubungkait antara setiap topik. Cuba bina soalan-soalan peperiksaan kita sendiri untuk topik yang dibincangkan dan beri jawapan.

6. 'Banyaknya Nak Kena Ingat.'

Susun atur maklumat kita. Maklumat lebih mudah diingati jika dipersembahkan dalam bentuk rangka kerja yang tersusun supaya maklumat boleh diperolehi semula dengan cara yang sistematik. Ada banyak teknik yang dapat membantu kita menyusun atur maklumat baru.

7. 'Baru Sebentar Tadi Saya Ingat.'

Kaji semula. Selepas membaca satu bahagian kaji semula dan amalkan output learning iaitu mengeluarkan kembali fakta yang dipelajari. Cuba reka soalan mengenai bahagian tersebut dan jawab. Jika kita tidak boleh ingat lagi, baca semula pada tempat yang kita tidak ingat. Lebih banyak kita mengambil masa untuk belajar, lebih banyak yang boleh diingat. Walaupun kita boleh ingat kesemua fakta, kita masih perlu terus belajar kerana pembelajaran berterusan boleh menjadikan bahan yang dipelajari tidak mungkin dilupai. Dengan kata lain kita tidak mungkin terlebih belajar. Walau bagaimanapun, bagaimana kita mengatur dan menggabungkan maklumat baru amat penting daripada berapa lama kita mengambil masa untuk belajar. Bukan berapa lama kita belajar yang penting tetapi berapa banyak yang kita perolehi semasa sesi belajar itu lebih penting. Berapa banyak yang kita telah pelajari boleh dibuktikan daripada jumlah soalan yang boleh dijawab. Cuba sediakan soalan berbentuk esei dan jawab sendiri, kemudian cuba jawab soalan aneka pilihan untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari.

8. 'Tapi Saya Suka Belajar Atas Katil Saya.'

Ini tidak baik. Ambil berat terhadap pelajaran kita. Membaca buku untuk pengajian tidak sama dengan membaca buku cerita. Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan dan catat atau buat rajah untuk belajar secara aktif. Kita tidak boleh belajar sambil berbaring. Lagi pun, kita boleh ingat semula lebih baik bila situasi belajar sama seperti situasi semasa ujian. Lebih mirip antara suasana belajar dengan suasana ujian, maka lebih banyak bahan yang boleh diigati semasa ujian.

9. 'Saya Belajar Lebih Baik Pada Saat-saat Akhir.'

Ini tidak benar sama sekali. Ingatan bertambah apabila masa belajar meliputi tempoh masa yang panjang. Sudah pasti jika belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh dirembeskan akibat tekanan yang membuat kita rasa tangkas, cergas dan bertenaga untuk belajar. Walau bagai-manapun kecergasan ini akan mengakibatkan kita mudah penat dan diserang gelabah terutama sekali apabila kita dapati terlalu banyak yang mesti dipelajari. Belajar di saat-saat akhir adalah sia-sia dan kesannya akan dirasai semasa peperiksaan. Saya pernah melihat rakan saya yang bersikap sedemikian akhirnya terpaksa mengulangi beberapa kertas dan akhirnya terpaksa mengulangi seluruh tahun akademik tersebut dan ada di antara mereka menamatkan pengajian mereka dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya ber-banding dengan siswazah lain. Keadaan ini membuat mereka kecewa dan kurang keyakinan diri.

10. 'Saya Akan Berjaga Sepanjang Malam Sehingga Saya Habis Belajar.'

Keadaan ini kurang produktif. Perkara yang amat penting semasa ujian ialah berfikiran cergas. Elakkan keletihan minda. Rehat sebentar berulang kali semasa mentelaah. Sebelum ujian rehatkan minda kita. Adalah amat penting kita menjaga diri kita sebelum peperiksaan. Makan betul-betul, tidur cukup dan bersenam secukupnya dan berdoalah bersungguh-sungguh.



Dipetik daripada buku Bagaimana Menjadi Seorang Pelajar yang Baik dan Berjaya

Sunday, November 11, 2012

SALAM MAAL HIJRAH - 1434H


Allah SWT berfirman yang mafhumnya :

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah ( untuk membela dan menegakkan Islam ) , nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur , dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya , kemudian ia mati ( dalam perjalanan) , maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah ) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ". ( Surah An-Nisa ayat 100 ).

Tahun baru Hijrah 1434 H yang diiringi oleh tahun baru Masehi 2013 M telah membuka lembaran baru bagi kita umat Islam. Siang dan malam silih berganti tanpa jemu melengkapi peredaran sehingga cukup setahun . Terkadang kita berfikir mengapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja kita dilakukan , baru beberapa agenda dilaksanakan dan mengapa masa berputar begitu pantas.

Tahun baru ( Hijrah ) datang membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti akan erti sebuah kehidupan yang diredai Allah SWT. Peristiwa Hijrah disambut saban tahun mengajak seluruh umat Islam bermuhasabah dan memperbaiki diri untuk mendapat reda Allah SWT.

Monday, November 5, 2012

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM 2012


Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan yang cemerlang khas buat anak-anak kita yang sedang menduduki peperiksaan SPM 2012 bermula hari ini. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau permudahkanlah anak-anak kami dalam menghadapi peperiksaan ini. Jadikanlah mereka hamba-hambaMu yang berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiin Ya Rabbal Alamin

Friday, September 28, 2012

MENYAHUT PANGGILAN KAABAH - MUSIM HAJI 1433H



Pengertian Haji dan Umrah

Haji pada syarak ialah mengunjungi Baitullah Al Haram ( Kaabah ) dalam bulan bulan Haji ( dari 1 Syawal hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah ) kerana mengerjakan Tawaf, Sa’ie, bercukur atau bergunting dan Wukuf di Arafah menurut syarat-syarat dan rukun-rukunnya serta menunaikan segala wajibnya.

Umrah pada syarak ialah menziarahi Baitullah Al Haram ( Kaabah ) kerana mengerjakan Tawaf, Sa’ie, bercukur atau bergunting dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajibnya.



Thursday, July 19, 2012

KETIBAAN RAMADHAN AL MUBARAK

Beberapa hari lagi menjelang, tibalah bulan Ramadhan. Adakah bulan ini menjadi simbol keraian atau sekadar adat tahunan? Ini yang perlu kita teliti dan fahami.

Kepada seorang musafir yang dahagakan air di tengah perantauan yang panjang inilah detiknya buat hilangkan sisa dahaga. Kepada perantau yang sesat tanpa arah tujuan inilah jalannya membetulkan haluan yang tersasar.

Sudah tentu bagi Si Abdi hatinya penuh dengan bebunga keriangan. Manakan tidak, ibadah sehari mampu menyamai ibadah seribu bulan. Seorang pekerja yang bekerja ikhlas kepada tuannya akan menerima ganjaran yang setimpal dengan usahanya. Di kala zaman Rasulullah seorang sahabat bertanya : "Apakah itu malam Qadar wahai Rasulullah?". Baginda menjawab: "Tidak, tidakkah kamu mengetahui bahawa para pekerja, apabila mereka selesai dari pekerjaannya, nescaya akan dibayar upahnya". (Hadis Hasan, Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syua'b al-Iman: 3450)

Hati ini berdesir seketika, di sebalik singkapan Ramadhan, kebanyakan umat Islam tampaknya sering lalai dan lupa. Mereka merasakan bulan Ramadhan ini hanyalah sekadar berpuasa. Kita dapat melihat sendiri di negara kita ini. Bukan ganjaran pahala diutamakan namun santapan makanan didahulukan. Bukan masjid diimarahkan malangnya pasar ramadhan jadi tumpuan. Bukan Al-quran jadi peneman, namun tidur yang diimpikan. Namun di sini sebenarnya  bukan semuanya masyarakat Malaysia yang beragama islam begitu namun kebiasaan fenomena atau situasi, inilah yang terjadi.

Jika begitu di mana kemeriahan Ramadhan? Di mana keindahan nya? Adakah ia terletak pada makanan. Atau ganjaran pahalanya? Ayuh kita fikirkan bersama.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun. Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja? Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya, bukan? Sebab dikatakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!

Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman. Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.

Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.

Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan. Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.

Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori, kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.

Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah jangan berlebih sehingga tertelan.

Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang masih buta akal dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti, semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar. Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih Ada Manusia Yang Mendustakan?

Di bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah daerah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan. Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.

- Artikel iluvislam.com