Wednesday, August 28, 2013

HAKIKAT KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM - SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KE 56


Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti berjuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai di kalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala dengan penuh ketenangan.

Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.

Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh.

Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin  yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.

Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri  daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kemanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.

Wallahu a'lam.

http://www.al-azim.com/masjid/hakikatmerdeka.html

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan terima kasih kerana sudi mengunjungi laman blog PSG SRII Al-Amin.