Monday, October 3, 2011

KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH

PENGENALAN
Zul ertinya "yang empunya". Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH
Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan bulan haram ini. Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni. Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah. Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA BERSEJARAH

1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.


2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah. Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al- hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut. Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.


3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy. Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy". Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan". Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.


4. Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.




5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam. Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.


Dipetik drpd: laman web Masjid Al-Azim melalui website http://iumelaka.multiply.com/

Saturday, August 20, 2011

Rahsia Khusyuk Dalam Sembahyang


Sembahyang adalah salah satu bentuk penghambaan seorang insan kepada Tuhannya. Di dalamnya terdapat doa-doa dan pujian yang menghubungkan secara langsung hamba dengan Allah. Lima kali sehari cukup berfungsi sebagai tali pengikat insan yang lemah untuk sentiasa mengingati-Nya. Tetapi bukan bererti semasa sembahyang sahaja kita ingat kepada-Nya dan selepas itu kembali lalai. Bahkan sembahyang yang betul dan berkesan dapat mempengaruhi peribadi seseorang sehingga dia merasai pengawasan Allah SWT pada seluruh ruang dan waktu dalam kehidupannya. Masalahnya adalah tidak sedikit orang-orang Islam yang masih kabur tentang makna dan hakikat sembahyang, apatah lagi bagi kita bangsa melayu di mana ramai yang buta dengan bahasa yang digunakan dalam sembahyang. Sehingga kenikmatan ibadat itu tidak dapat sempurna dirasai. Ada juga orang-orang yang berputus asa setelah sekian lama belajar masih belum mendapatkan kepuasan sembahyang yang diimpikan. Dinasihatkan kepada mereka jangan patah semangat untuk terus belajar dan jangan dihiraukan was-was syaitan yang menjejaskan proses ibadat yang paling agung ini. Bahkan orang yang berilmu tinggipun tidak terlepas dari masalah kelalaian dalam sembahyangnya, untuk itu metod murajaah (ulangkaji) dalam menuntut ilmu adalah penting sebagai penyegar kualiti ibadat seseorang. Marilah kita ingatkan diri kita bersama-sama tentang cara mendapatkan khusyuk dalam sembahyang. Ada beberapa faktor penting untuk mendapatkan sembahyang yang khusyuk.
Antaranya ialah:


Bersedia semasa wuduk

Dalam kitab Bidayah al-Hidayah (Permulaan Jalan Hidayat), Imam al-Ghazali mengajarkan kita dengan doa-doa khusus semasa mengambil wuduk. Tidak mengapa jika anda tidak mengamalkan doa-doa yang memang cukup panjang itu tetapi pada hakikatnya beliau mengajak kita untuk menyelami falsafah wuduk yang dilakukan. Bermula dengan membasuh muka, semasa itu hendaklah kita mengingat tentang ayat Allah yang bermaksud: ”Pada hari yang wajah mereka ada yang putih berseri dan ada pula yang hitam muram. (Surah al-Baqarah Ayat 106). Semasa itu kita meminta kepada Allah SWT agar diputihkan muka kerana cahaya sembahyang. Kemudian membasuh kedua tangan hingga ke siku, doa yang dianjurkan ialah, ”Ya Allah berikanlah buku catitan amalanku dari sebelah kanan.” Disambung dengan tertib wuduk yang ketiga iaitu membasuh kepala. Bacalah doa: ”Aku memohon naungan-Mu ya Rabbi pada hari yang tiada naungan selain naungan-Mu.” Yang terakhir adalah membasuh kaki hingga ke buku lali, bacaannya adalah: ”Ya Allah mudahkanlah aku menyeberangi titian sirat nanti.” Dalam makna doa-doa yang dibaca ini, ia mengingatkan kita kepada hari akhirat. Jika dihayati bacaannya, akan lahir perasaan takut kepada Allah SWT yang menyumbang kepada suasana hati yang khusyuk sebelum memasuki sembahyang.

Memahami Makna Bacaan

Bagi mereka yang faham bahasa Arab tidaklah susah untuk mendalami makna-makna ayat yang akan membawa kepada suatu penghayatan yang kuat. Tetapi sebaliknya mereka yang sama sekali buta huruf Arab perlukan usaha yang berterusan dalam menghafal ayat-ayat yang terpenting dari kesemua susunan ayat. Contohnya adalah memilih ayat yang paling memberi kesan di hati seperti Inna shalati, wa nusuki, wa mahyaya, wa mamati lillahi rabbil ’alamin. (Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidup dan matiku adalah milik Allah Tuhan semesta alam) Tiada satupun menjadi hak milik kekal, semuanya adalah pinjaman Allah SWT. Rasa berserah diri dan menghinakan diri di hadapan-Nya serta bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT atas segala qadha dan qadhar-Nya. Bertalu-talu menikam perasaan kita. Kemudian bacaan surah al-Fatihah, yang mengandungi puji-pujian kepada Allah Yang Maha Rahman dan Rahim. Penghayatan yang baik ketika melafazkan satu persatu ayat membuka cakerawala minda seorang hamba langsung kepada Allah SWT. Tiada orang tengah antara kita dengan Rabbul Alamin. Segala permintaan didengar dan dimakbulkan. Dilanjutkan dengan bacaan rukuk, iktidal dan sujud penuh tasbih dan pujian kepada Allah SWT dan ingatlah simbol-simbol gerakan itu menunjukkan bahawa kita reda berserah kepada qadha dan qadar dari-Nya. Ketika duduk di antara dua sujud bacalah doanya: Rabbighfirli, warhamni … (Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, tinggikanlah darjatku, berikanlah aku rezeki, tunjukilah aku, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku). Elok dihafalkan bacaan tersebut dengan maknanya sekali.


Tepis dunia seketika

Apabila sejadah telah dibentangkan dan kedua kaki tegak berdiri di atasnya, jangan biarkan dunia masuk ke dalam benteng hati. Kunci segala pintu yang memanjangkan angan-angan dunia dan tipu dayanya. Kosongkan hati hanya untuk pertemuan dengan Allah SWT. Konsep ihsan amat diperlukan pada saat ini iaitu ”beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak mampu melihat-Nya sesungguhnya Ia melihatmu.” Bagi orang yang sentiasa sibuk dengan urusan dunia, sembahyang merupakan terapi yang paling baik untuk meredakan tekanan dan emosi. Gerakannya yang lembut dan teratur disertai dengan tarikan nafas antara ayat-ayat yang dibaca mampu menciptakan suasana hening syahdu. Saat ini banyak orang menggunakan cara meditasi seperti senaman yoga, mandi bunga dan aroma terapi untuk melepas dan meredakan tekanan dan stress, padahal Islam telah mengajarkan zikrullah dan salat sebagai bentuk meditasi terunggul sejak berzaman. Bukankah sebelum sembahyang mesti kita membersihkan diri, memakai wangi-wangian adalah diharuskan dan menjadi Sunnah Rasulullah SAW. Khusyuk hanya dirasakan oleh mereka yang menjaga kebersihan dan keharuman tubuh badan dan pakaian serta tempat salat. Kemudian bagaimanakah cara meninggalkan kesibukan dunia ketika menghadap Allah SWT? Caranya hanya satu iaitu dengan memikirkan dan menghayati hari akhirat. Berdiri di hadapan Allah ketika salat adalah umpama berdiri di hadapan-Nya ketika hari penghisaban, semua amalan akan ditimbang dan kita menunggu nasib diri yang penuh penyesalan. Mengingati saat-saat menyeberangi titian sirat, adakah kaki yang berdiri akan tegak seperti tegaknya dalam sembahyang? Sujud dan rukuk mencerminkan ketakutan dan pengharapan kepada keputusan Allah atas diri kita. Adakah tempatmu di syurga ataukah di neraka? Kepenatan berdiri ketika salat mengingatkan kita pada saat berkumpul di padang mahsyar, sabar dengan ujian di dunia lebih baik daripada siksaan di akhirat!
Jika pemikiran terfokus kepada tayangan-tayangan kengerian di akhirat nescaya tidak ada peluang bagi dunia duduk di tengah-tengah ibadah salat kita.

Sembahyang yang terakhir

Kekuatan penghayatan salat dapat disempurnakan dengan sentiasa ingat kepada mati. Azab dan nikmat kubur terbayang di mata. Manakala malaikat maut seakan-akan berada di belakang kita. Jika salat yang dilakukan sekarang adalah yang terakhir, sudah semestinya kita tidak akan melepaskan peluang ini untuk melakukannya dengan sebaik-baiknya. Anggaplah setiap kali salat adalah yang terakhir dalam hidup kita. Dan alangkah bertuahnya orang yang berakhir nafasnya ketika sujud kepada Allah SWT. Semoga kita dikurniakan nikmat kebaikan sedemikian.
Kesungguhan menundukkan hati kepada Allah SWT akan membuahkan kemanisan beribadat. Ditambah dengan ganjaran kaffarah dosa-dosa setiap kali salat. Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang pentingnya mendapatkan salat khusyuk sepertimana sabda baginda SAW: ”Tidaklah tiba waktu salat fardu kepada seseorang, lalu dia membaguskan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya melainkan salat itu menjadi penebus dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar dan yang demikian itu berlaku berterusan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ibadat dalam Islam amat mudah, bahkan ia mengajar kita bersikap optimis. Bagi sesiapa yang berusaha, Allah SWT akan mengampuni dan melenyapkan kesedihan mereka kerana dosa-dosa pada masa lalu. Jadi jangan berputus asa untuk berjuang menegakkan salat dengan sempurna.

August 13th, 2011
http://drjuanda.com/?p=306

Sunday, August 7, 2011

Bazar Ramadhan Jangan Jadi “Bazir Ramadhan”! (Peringatan Untuk Semua)

Oleh: al-bahanj


Apabila datang Ramadhan yang mulia, banyak tempat akan mengadakan pasar yang menyediakan banyak pilihan makanan dan juadah untuk berbuka puasa. Pasar ini yang juga lebih dikenali sebagai ‘Bazar Ramadhan’ sangat memberi faedah buat masyarakat terutamanya buat pasangan suami isteri yang bekerja. Kesuntukan masa dan kepenatan balik dari tempat kerja tidak mengizinkan mereka untuk menyediakan juadah berbuka puasa dengan sendiri. Justeru, ‘Bazar Ramadhan’ adalah jawapannya.
Adanya ‘Bazar Ramadhan’ bukan sahaja menyediakan kemudahan buat masyarakat, malah peluang seperti ini sangat dinanti-nantikan oleh para peniaga. Betapa Ramadhan menyediakan peluang buat mereka untuk menggandakan pendapatan. Syukur alhamdulillah.
Masing-masing tahu akan kebaikan ‘Bazar Ramadhan’. Jadi, tulisan ini bukanlah mahu membincangkan tentang kebaikannya. Kerana kebaikannya semua sudah maklum.
Tulisan ini dibuat bagi memberi peringatan kepada pembaca sekalian supaya berhati-hati tatkala menghadiri ke ‘Bazar Ramadhan’. Kerana sangat jelas pembaziran banyak berlaku kepada setiap orang yang masuk ke sana. Supaya ‘Bazar Ramadhan’ tidak menjadi ‘Bazir Ramadhan’.

Pembaziran Wang
Sebut sahaja menu apa pun, tentu boleh dijumpai di Bazar Ramadhan. Samada ala-kampung, ala-bandar, ala-arab, ala-cina, ala-barat atau lain-lain ala, boleh dikatakan ada tersedia di Bazar Ramadhan. Lelaki atau perempuan yang selama ini mengidam sesuatu jenis makanan, menggunakan masa ini untuk menyampaikan hajat masing-masing.
Disebabkan perut sedang lapar dan tekak sedang haus, jadi ramailah yang terlajak tatkala membeli-belah. Itu nak, ini pun nak. Kesemua sepuluh jari hampir dipenuhi dengan plastik-plastik bungkusan makanan untuk dibawa pulang berbuka puasa. Sedangkan yang diperlukan hanya dua atau tiga jenis makanan sahaja untuk berbuka puasa. Maka berlakulah pembaziran wang.

Pembaziran Makanan
Akibat dari pembelian yang terlebih, kadang-kadang seseorang tidak dapat menghabiskan makanan-makanan yang dibeli. Kuih lima biji, hanya 2 biji dimakan. Nasi sebekas, hanya suku diusik. Juadah-juadah yang lain hanya diusik sepertiga sahaja. Hasilnya, banyaklah makanan yang terbiar begitu sahaja yang akhirnya ke tong sampah destinasinya. Menyedihkan.
Dari pembaziran wang, terjadi pula pembaziran makanan. Alangkah baiknya jika wang yang lebih itu dibeli makanan untuk golongan anak yatim, miskin atau yang susah kehidupannya. Betapa sayunya hati mereka jika mereka melihat perbuatan sesetengah kita yang membazirkan makanan. Sedangkan mereka sangat susah untuk mendapat sesuap nasi.
Pembaziran makanan ini bukan sahaja terjadi kepada si pembeli, malah si peniaga juga kadang-kadang terpaksa membuang makanan yang tidak habis dijual ke dalam tong sampah. Mungkin jika makanan itu masih dalam keadaan baik, boleh dipertimbangkan untuk ia diberikan kepada surau atau masjid untuk dijadikan juadah moreh atau minum malam golongan-golongan yang susah.

Pembaziran Masa
Ramai yang membazir masa di Bazar Ramadhan. Terutama para remaja yang sekadar ingin berjalan-jalan di pasar tersebut. Ada yang cuma hendak berjumpa dengan rakan-rakan atau mungkin juga ingin ‘mencuci mata’. Yang dewasa juga kadang-kadang meluangkan masa sehingga sejam atau dua jam berjalan-jalan di Bazar Ramadhan bagi mencari makanan untuk berbuka puasa. Kadang-kadang sudah dua pusingan berjalan, masih belum berjumpa lagi dengan juadah yang berkenan di hati.
Masa yang terluang itu dibazirkan begitu sahaja. Sedangkan lebih baik masa itu diluangkan untuk berada di rumah bersama keluarga. Diisi dengan ramah mesra dengan ahli keluarga atau sesi tadzkirah bersama keluarga. Ataupun membaca al-Quran sehelai dua. Perbuatan sebegini tentunya lebih melahirkan faedah yang banyak buat diri.

Pembaziran Tenaga
Hasil dari pembaziran masa, berlakulah juga pembaziran tenaga. Disebabkan masa yang diluangkan untuk berjalan-jalan di Bazar Ramadhan terlalu lama, jadi banyak tenaga dibazirkan di situ. Badan mudah menjadi letih dan ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada ibadah yang bakal yang dilakukan pada sebelah malam. Sedangkan banyak lagi aktiviti yang lebih bermanfaat yang boleh dilakukan dari menggunakan tenaga yang ada untuk terlalu lama berada di Bazar Ramadhan.

Pembaziran Pahala
Seperti yang kita ketahui, Bazar Ramadhan selalu dihadiri oleh berbagai lapisan masyarakat dan kaum. Mengikut pengalaman yang lepas, apabila hadir ke Bazar Ramadhan, cabaran untuk menjaga pandangan mata amat tinggi, terutama buat lelaki muslim. Memang lumrah dan fitrah lelaki suka melihat wajah dan susuk wanita. Jika gagal menjaga pandangan mata, maka terbazirlah pahala-pahala puasa Ramadhan begitu sahaja.
Ramainya orang di sana juga menyebabkan lidah juga kadang-kadang tidak terkawal. Minda juga berfikir yang bukan-bukan. Ditambah pula aktiviti berlanggar bahu antara lelaki dan perempuan yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan. Bukan itu sahaja, malah persentuhan kulit antara penjual dan pembeli yang bukan mahram juga selalu terjadi. Pahala yang penat lelah sudah dikutip sejak pagi jatuh satu persatu diganti dengan dosa.
Si peniaga pula kadang-kadang untuk melariskan jualan, mulalah ‘menanam tebu di pinggir bibir’. Cakap itu dan ini. Sebahagiannya ada yang tidak benar. Maka, terbazirlah pahala puasa si peniaga.
Justeru, para pembeli dan peniaga mesti hati-hati sungguh dalam bab ini. Jika ingin ke Bazar Ramadhan untuk membeli keperluan untuk berbuka puasa, ya silakan. Tetapi mesti ditundukkan pandangan mata, dijaga lidah dan lain-lain pancaindera. Apabila semua keperluan sudah dipenuhi, keluarlah dari Bazar Ramadhan dengan segera supaya tidak berlaku pembaziran pahala.

Pembaziran Peluang
Ramadhan datang dalam setahun hanya sekali. Disebabkan oleh ia datang sekali setahun, maka peluang untuk mengutip semua kebaikan di dalam bulan Ramadhan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Sayang sekali, ramai di kalangan penjual terlepas ibadah-ibadah sunnat yang utama kerana mereka terlalu menumpukan perhatian mereka kepada peluang untuk mendapat keuntungan di Bazar Ramadhan. Peluang untuk mendapat pahala yang besar di dalam bulan Ramadhan seperti solat fardhu secara berjemaah khususnya pada waktu Asar dan Maghrib dibazirkan dan dilepaskan begitu sahaja. Malah kadang-kadang amalan seperti membaca al-Quran dan berdzikir juga tidak dilakukan disebabkan oleh persiapan untuk berniaga yang dilakukan sejak dari pagi lagi.
Alangkah bagusnya jika para peniaga dapat mengambil cakna dalam hal ini. Kita doakan agar mereka semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH agar mempunyai sifat ingin berlumba-lumba untuk mengejar keuntungan di akhirat juga, bukan setakat keuntungan di dunia.

Jangan Membazir
Semoga dengan tulisan ini bisa menjadikan kita semua lebih berhati-hati tatkala berada di Bazar Ramadhan. Janganlah kebaikan yang terdapat di Bazar Ramadhan itu memberikan keburukan buat diri kita, terutama dalam bab pembaziran.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isyra’, ayat ke 27)

Pembaziran adalah perbuatan Syaitan. Dan orang-orang yang terlibat dengan pembaziran adalah tergolong di dalam kalangan saudara kepada Syaitan. Moga kita semua dijauhi dari sifat yang buruk ini, amin.
Ambillah peluang Ramadhan yang hanya hadir sekali dalam setahun ini sebaik-baiknya. Janganlah kita bazirkan wang, makanan, masa, tenaga, pahala dan peluang berada di bulan yang mulia ini dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Mudah-mudahan kita semua bertaqwa, amin.

Saturday, July 16, 2011

Kelab Renang SRII Al Amin - Kumpulan 1
















Alhamdulillah, tahniah kepada Kumpulan 1 Kelab Renang SRII Al Amin kerana telah berjaya menamatkan Modul 1 & 2. Sekalung penghargaan kepada tenaga pengajar Kolej Komuniti Hulu Selangor dan juga kepada ibubapa2 yang telah memberi sumbangan masa dan tenaga bagi memastikan aktiviti ini berjalan lancar. Jazakallahu khairan.

Friday, July 15, 2011

KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban


Adapun kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)


Di Malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”
Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban
Nisfu Sya‘ban ialah hari ke lima belas daripada bulan Sya‘ban. Malam Nisfu Sya‘ban merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi‘in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi‘in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma‘dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nisfu Sya‘ban. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.


Para tabi‘in tersebut menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan dua cara:
1. Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
2. Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan membaca Al-Qur'an seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi‘in itu.


Amalan-Amalan Bid‘ah Dalam Bulan Sya‘ban
Dalam keghairahan kita menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban itu dengan berbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan perkara-perkara bid‘ah.
Di antara perkara bid‘ah itu ialah bersembahyang sunat Nisfu Sya‘ban. Sembahyang ini sebenarnya tiada tsabit dalam ajaran Islam. Imam an-Nawawi dan Imam Ibnu Hajar telah menafikan adanya sembahyang sunat Nisfu Sya‘ban kerana suatu sembahyang itu disyariatkan cukup dengan sandarannya sama ada dari nash Al-Qur'an atau pun hadis.
Jika seseorang itu masih juga ingin untuk melakukan sembahyang, maka sayugialah dia mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sunat Awwabin (di antara waktu maghrib dan Isya'), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq bukan sembahyang sunat Nisfu Sya‘ban. Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nisfu Sya‘ban atau pada malam-malam yang lain.
Adalah mendukacitakan pada malam yang penuh berkat dan keampunan itu, wujud perkara-perkara yang tidak selari dengan syara‘, iaitu adanya orang yang membuat hiburan atau mengadakan konsert pada Malam Nisfu Sya‘ban. Apatah lagi jika hiburan atau permainan yang diadakan itu melibatkan ramai orang Islam sehingga terlepas untuk merebut peluang beribadat dan berdoa pada malam tersebut. Perbuatan seumpama ini setentunya menyumbang kepada maksiat.
Sesunguhnya bulan Sya‘ban itu adalah bulan di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih banyak berpuasa sunat dibandingkan pada bulan-bulan yang lain, iaitu sebagai persiapan dan persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Amalan Baginda itu sewajarnya dicontohi oleh sekalian umat Islam di samping bulan Sya‘ban itu sendiri mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti Malam Nisfu Sya‘ban.
( Dari Kitab Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi )
http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Syaaban.html