Puasa Hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah)
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan
Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji.
Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun
yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang
telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:
Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah.
Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun
yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah
disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara
yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang
diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu
tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah
SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu
Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam
Muslim)
Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari
‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan
an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha) [1]
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah di
samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati
yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari yang ke 9
Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu
dari hari yang pertama bulan Dzulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi
orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan
hari ‘Arafah.
Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang
dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh
hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin
Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:
Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di
awal bulan Dzulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari
Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam
Ahmad dan an-Nasa’ie)
Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan
hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan
hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:
Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari,
iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad,
an-Nasa’ie, Abu Dawud)
Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk
mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik).
Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat
Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]
Allahu a’lam bisshawab..
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan terima kasih kerana sudi mengunjungi laman blog PSG SRII Al-Amin.